Quantcast
Channel: Mimi Azirah
Viewing all articles
Browse latest Browse all 669

Tanda Awal Kehamilan, Ini Simptom-Simptom Yang Di Alami Sebelum Ujian Kehamilan Dilakukan

$
0
0
Tanda Awal Kehamilan, Ini Simptom-Simptom Yang Di Alami Sebelum Ujian Kehamilan Dilakukan | Bila dah bergelar suami isteri pastinya kita mengharapkan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri rumahtangga. Gelagat bayi yang comel dan menghiburkan hati di kala kita letih pulang dari kerja. Telatah mereka mampu membuatkan kita tersenyum dan tertawa melupakan kepenatan. 

Terimbau kembali selepas mendirikan rumahtangga dengan suami. Sejujurnya kami tidak pernah merancang untuk menimang cahaya mata lambat. Lagi cepat lagi bagus. Tapi semua itu ketentuan Allah, cepat atau tidak Allah yang tentukan. Kita sebagai hambaNya hanya terima sahaja dengan redha dan tawakal. Sebenarnya setahun jugalah Mimi tiada rezeki mengandung. Masuk bulan ke 13 barulah disahkan Mimi mengandung. Itu pun setelah pelbagai cara  dan petua dilakukan untuk mengandung.



Nanti Mimi akan kongsikan cara yang dilakukan untuk mengandung. Kali ni nak kongsikan tanda awal kehamilan yang dialami sebelum ujian kehamilan dilakukan. Nak tahu apa tanda awal kehamilan yang dilalui, baca artikel hingga akhir nanti. 

Ini Simptom-Simptom Awal Kehamilan Sebelum Ujian Kehamilan Dilakukan


1) Alami cirit birit

Sebelum disahkan mengandung, Mimi alami cirit birit. Tapi masa itu tak syak apa apa sebab fikir silap makan walaupun kita makan masakan dari rumah dan jaga kebersihan makanan. 

2) Letih dan rasa mengantuk

Yang memang tidak dinafikan, tiba tiba saja jadi letih dan rasa mengantuk teramat sangat setiap kali selepas pulang dari kerja. Sebelum ini tidak pernah berlaku macam tu. Bila kaki melangkah masuk saja dalam rumah, mata kuyu dan layu seolah ada batu hempap atas mata ni. Langsung tak boleh buka mata. Berat sungguh! 

3) Batuk dan demam dengan tempoh yang lama

Setiap kali mengandung memang batuk dan demam ni wajib Mimi alami sebelum tahu diri mengandung. Makan ubat klinik pun tak jalan (sebelum tahu mengandung). Batuk dan demam ni selalunya berlanjutan hingga 2 minggu. Tapi Mimi tak dapat tangkap hint ini kerana batuk dan demam selalunya Mimi kaitkan dengan keadaan sekeliling atau orang cakap musim. 

4) Sensitif dengan bau tertentu

Tanda awal kehamilan yang wajib dilalui dari anak pertama hingga bongsu ni, sensitif dengan sesuatu bau. Anak sulung dahulu Mimi tak boleh bau sebarang masakan sup dan nasi. Anak kedua, ketiga dan bongsu tidak boleh bau minyak wangi lelaki. Bagi Mimi bau minyak wangi lelaki busuk. Anak bongsu juga Mimi tak boleh bau sabun pencuci baju dan nescafe. Kalau terbau mula rasa nak marah sebab rasanya tengik. 

5) Mual dan loya

Simptom awal kehamilan ni rasanya semua pernah alami. Mual dan loya tiba tiba. Sedang duduk bersantai pun tiba tiba boleh datang rasa mual dan loya.



6) Rasa tidak cukup nafas atau nafas pendek

Salah satu tanda awal yang Mimi alami ialah rasa tidak cukup nafas atau nafas pendek bila melakukan sesuatu kerja. Mudah rasa tercungap. Walaupun aktiviti yang kita lakukan itu dah menjadi kebiasaan tetapi secara tiba tiba kita tak boleh lakukan kerana nafas pendek. 

7) Buah dada sakit dan bengkak dari biasa

Selalunya bila datang bulan kita akan rasa sakit buah dada. Tetapi tanda awal kehamilan pula buah dada kita akan rasa sakit dan bengkak dua kali ganda dari biasa. Ini salah satu tanda yang menguatkan bahawa kita hamil. 

8) Lewat datang bulan

Of course lah benda ni akan jadi petunjuk yang kita kemungkinan mengandung. Ada setengah orang akan kata, lewat datang bulan lama takkan tak sedar diri tu mengandung. Fahamilah kaum hawa sekalian, kita memang sama jantina tapi hormon kita tidak sama. Ada yang lewat datang bulan sehari pun boleh detect dia mengandung ada juga yang tidak boleh. Mimi kategori lewat berminggu dan berbulan pun tak boleh detect mengandung sebab pernah Mimi habis beratus beli macam macam jenis alat ujian kehamilan gara gara lewat datang bulan tetapi bila buat ujian, keputusannya negatif. Hampa! 

Setelah kesemua tanda awal kehamilan yang Mimi alami di atas dan datang bulan pun lewat, jadi Mimi akan ambil keputusan beli alat ujian kehamilan. Bila buat ujian keputusannya positif, maknanya tanda tanda yang dialami perlu di ambil kira untuk buat ujian kehamilan. Tidaklah kita membuang masa dan wang ringgit beli alat ujian kehamilan. 

Ada juga yang datang bulan seperti biasa tapi tanpa sedar yang diri sedang berbadan dua. Setiap wanita alami tanda awal kehamilan berbeza. Ada yang boleh kesan seawal lewat datang bulan ada yang tidak. Ada yang tahu diri sedang  berbadan dua ada yang tidak. Pendek kata setiap daripada kita mengalami tanda awal kehamilan yang tidak sama. 


Viewing all articles
Browse latest Browse all 669